Cadangan MB Perlis tukar padi dibantah

AMANAH Perlis membantah permintaan MB Perlis agar sawah padi di negeri itu ditukar kepada tanaman napier dan kenaf.

“Apakah dia telah buat kajian secara mendalam untung rugi bila menggantikan tanaman padi?” soal Pengarah Biro Komunikasi AMANAH Perlis Kapt (B) Hj Muhammad Yahaya

“Dia tengok tak pro n con bagi tanaman-tanaman yang dia sebut tu, atau dia sekadar dengar saranan dari entah walaun mana, bisik kat dia masa singgah di markas Pas Sanglang sebelum dia ke majlis tersebut, maka terus dia petik saranan itu dalam ucapan dia.

“Dalam keadaan negara kita masih mengimport beras dalam peratusan yang banyak dari luar, dan dalam keadaan negara sedang bertungkus lumus untuk menambahkan jumlah pengeluaran beras domestik, tiba-tiba seorang MB dari sebuah negeri pertanian, membuat cadangan utk menggantikan padi dengan tanaman lain,” katanya.

Muhammad sebaliknya mengemukakan hujah untuk membantu usaha untuk meningkatkan pengeluaran padi negara.

“Apakah MB ni dia tak tengok, bagaimana pengeluaran padi di kawasan seperti Sekinchan, Sungai Burung, Tanjung Karang dan Sabak Bernam serta di Lembah Krian semakin tahun, semakin meningkat hasil mereka.

“Barangkali dia ni tak tau kot, apa perkembangan yang sedang berlaku dalam industri tanaman padi di luar sana, sehingga dia tergamak untuk lontarkan cadangan seolah-olah dia hanya tahu dan dengar dari rungutan pesawah-pesawah dari kalangan walaun tegar di kawasan dia sahaja?”soalnya.

Hujah-hujah di atas dikemukakan memandangkan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan dalam perancangan untuk memulakan penanaman padi lima kali dalam dua tahun.

Dalam masa yang sama ramai yang merungut ekoran ketiadaan beras tempatan di pasaran.

BACA JUGA: Kekurangan kelapa: Ini langkah segera dan jangka panjang KPKM

Â