Kekurangan kelapa: Ini langkah segera dan jangka panjang KPKM

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan telah mengambil langkah jangka pendek secara segara dan merancang langkah jangka panjang untuk memastikan isu kekurangan kelapa tidak timbul.

Langkah jangka pendek yang telahpun dilaksanakan membabitkan pengimportan dan pengedaran 661,761 biji kelapa tua bernilai RM1.45 juta.

“KPKM ingin memaklumkan bahawa telah berjaya mengimport dan mengedarkan sejumlah 661,761 biji kelapa tua, bersamaan 661 metrik tan (MT) dengan nilai keseluruhan RM1.45 juta.

“Bekalan ini telah ditempatkan di pusat pengedaran utama seperti Pusat Operasi FAMA Dengkil, Selangor, Pusat Operasi FAMA Senawang, Negeri Sembilan dan Pusat Operasi FAMA Simpang Pulai, Perak.

“Bekalan ini akan disalurkan melalui 42 Pusat Operasi FAMA di seluruh negara dan dipasarkan ke outlet peruncitan FAMA serta pemborong utama bagi memastikan ketersediaan bekalan di pasaran.

“Usaha ini akan diteruskan sehingga bekalan kelapa dalam negara kembali stabil. Antara negara yang mengeksport kelapa tua ke Malaysia adalah Indonesia, Thailand dan Sri Lanka,” kata kementerian tersebut dalam satu kenyataan.

Jabatan Pertanian juga telah terlibat dalam memulakan inisiatif langkah jangka panjang seperti penanaman semula dan penanaman baharu kelapa.

“Bagi langkah jangka panjang, melalui Rancangan Malaysia Ke-12, Jabatan Pertanian telah melaksanakan beberapa inisiatif termasuk penanaman semula dan penanaman baharu kelapa, penghasilan pelbagai anak benih kelapa daripada varieti berproduktiviti
tinggi seperti kelapa MATAG, Pandan, Malayan Yellow Dwarf (MYD) dan Malayan Red Dwarf (MRD).

“Kawasan tanah yang dikenal pasti dengan kerjasama kerajaan negeri akan digunakan untuk penanaman kelapa bagi meningkatkan pengeluaran domestik termasuk juga dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP).

“LPP telah melaksanakan 43 projek penanaman kelapa yang diusahakan bermula tahun 2016 di seluruh negara dengan keluasan seluas 643.42 hektar berkapasiti 123,426 pokok kelapa.”

BACA JUGA: Suntikan kenaf untuk masyarakat Orang Asli melalui LKTN

Â