Kerajaan beri jaminan penyasaran subsidi RON95 tidak bebankan rakyat
Kerajaan memberi jaminan penyasaran subsidi petrol RON95 yang akan dilaksanakan kelak tidak akan menyebabkan kenaikan harga barang dan perkhidmatan secara tidak munasabah dan tidak terkawal.
Dalam jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini, kerajaan menjangkakan penyasaran subsidi bahan bakar itu akan dilaksanakan pada pertengahan tahun ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerajaan kini dalam fasa akhir merangka sistem penyasaran yang adil dan berkesan bagi memastikan pelaksanaannya mencapai objektif disasarkan.
“Mengambil kira mekanisme yang digunakan semasa Kerajaan melaksanakan penyasaran diesel pada tahun 2024 yang lalu, KPDN sedang menambahbaik sistem sedia ada untuk memberikan kuota petrol bersubsidi kepada kenderaan komersial yang layak.
“Pada ketika ini, kumpulan sasar yang akan menggunakan fleet card bersubsidi ini sedang dikenalpasti menerusi perbincangan antara KPDN, Kementerian Kewangan dan Kementerian Pengangkutan terutamanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD),” katanya.
Beliau turut menjelaskan bahawa pemberian petrol bersubsidi kepada kumpulan sasar yang tepat mampu mengekalkan kos perkhidmatan serta penghantaran barangan keperluan rakyat, sekali gus mengelakkan peningkatan kos sara hidup.
Sementara itu dalam usaha membendung manipulasi harga barang, KPDN akan mempertingkatkan penguatkuasaan menerusi Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta Peraturan Kawalan Harga dan Antipencatutan 2018.
BACA JUGA MP gesa menteri jangan bertangguh, ambil tindakan segera terhadap kartel beras
Â