MP gesa menteri jangan bertangguh, ambil tindakan segera terhadap kartel beras
Kerajaan digesa untuk tidak lagi bertangguh untuk mengambil tindakan terhadap kilang-kilang beras, pemborong dan peruncit yang bertanggungjawab mencampurkan beras tempatan dengan beras import.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim berkata, tindakan boleh diambil tanpa perlu menunggu Akta Kawalan Beras dan Padi 1994 (Akta 522) dibawa ke Parlimen untuk dipinda.
Ini kerana kata beliau, MARDI telah menemui analisa forensik yang saintifik berdasarkan DNA bahawa beras putih tempatan dapat dibuktikan telah bercampur dengan beras putih import.
“Dengan itu Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) boleh menggunakan akta-akta yang disenaraikan di bawah ini untuk menyiasat, menangkap dan mendakwa kartel-kartel yang telah menipu rakyat Malaysia selama hampir 2 tahun ini.
“Akta-akta tersebut ialah: Akta Perihal Dagangan 2011 (Akta 730); Consumer Protection Act 1999 dan Akta Makanan 1983,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook
Isu ketiadaan beras putih tempatan di pasar raya sejak tahun lalu akhirnya terjawab.
Ia selepas MARDI mengesahkan wujud kegiatan mencampur beras tempatan dengan beras import yang dilakukan pengilang-pengilang beras.
Menurut laporan, Pihak Kawalselia Beras dan Padi serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) telah menyerbu kilang beras seluruh negara dan menghantar 55 paket beras import kepada Mardi.
Lebih 5,000 sampel butir beras yang dijual sebagai beras import telah pun dianalisa.
Hasilnya, sekitar 40 hingga 50 peratus daripadanya mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) beras tempatan.
BACA JUGA Dulu wajib bohong demi jaga maslahat, kini Pas ‘bising’ pembohong jadi pemimpin
Â