LRT3 sudah siap 98 peratus, bakal beroperasi hujung September

Kemajuan projek LRT3 sudah mencapai 98.16 peratus dan ia dijangka siap sepenuhnya untuk diserahkan kepada pihak Prasarana pada 31 Julai.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, pembukaan operasi dijadualkan pada 30 September nanti.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat, ujian pengoperasian tren tanpa penumpang akan dilakukan dalam dua peringkat bagi memastikan perkhidmatan LRT3 selamat kepada penumpang.

“Dua ujian iaitu Trial Free Run dan Trial Operation akan dilakukan untuk menguji pematuhan, ketahanan serta keselamatan sistem kereta api dan prosedur operasi standard (SOP).

“Trial Run (TR) akan dijalankan serentak dengan ujian Fault Free Run (FFR) oleh pihak Kontraktor Utama iaitu Setia Utama LRT3 Sdn. Bhd.

“Anggaran tempoh pengujian adalah selama 75 hari. Keputusan ujian FFR ini akan dinilai oleh pihak Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) berdasarkan aspek-aspek keselamatan, pematuhan standard dan jaminan sistem kereta api yang tertentu.

“Ujian TR/ FFR ini dijangka bermula pada pertengahan April 2025 dan selesai pada akhir Jun 2025,” kata beliau.

Loke menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof yang meminta menteri menyatakan status terkini projek LRT3, rancangan tempoh trial run tanpa penumpang dan sasaran siap beroperasi sepenuhnya.

Sementara itu, Trial Operation (TO) oleh pihak pengendali berlesen kereta api iaitu Rapid Rail Sdn. Bhd. dengan bantuan teknikal oleh pihak Kontraktor Utama akan dijalankan sebaik sahaja selesai ujian-ujian TR dan FFR serta kelulusan ujian FFR oleh pihak APAD.

Anggaran tempoh pengujian ini adalah selama 60 hari. Ujian TO ini dijangka bermula pada Julai dan selesai pada akhir Ogos.

BACA JUGA Sultan Pahang titah jangan bahas lagi Titah Adendum, hormat undang-undang

Â