Pas pertikai SPRM tahan wartawan: Ini penegasan Azam Baki

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak pernah bersikap ‘pilih bulu’ dalam dalam usaha menangani dan mencegah rasuah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki menegaskan tidak akan ada sebarang pengecualian diberikan kepada sesiapa sahaja yang melakukan kesalahan berkaitan rasuah termasuklah membabitkan wartawan ataupun ahli politik.

Beliau mengulas penahanan wartawan sebuah portal media dalam talian di sebuah hotel di Shah Alam malam kelmarin selepas disyaki meminta rasuah RM20,000 daripada seorang ejen pekerja warga asing.

“Kami mempunyai alasan kukuh untuk mempercayai bahawa dia (wartawan) terbabit dalam rasuah selepas wang tunai RM20,000 ditemui bersamanya.

“Ini bukan sekadar salah laku. Di bawah undang-undang rasuah, ia sangat jelas… sesiapa yang menerima suapan sebagai balasan untuk melakukan atau tidak melakukan sesuatu tindakan, itu adalah kes rasuah,” katanya dipetik BH.

Sebelum ini, Pas menganggap tindakan SPRM menahan wartawan portal yang membongkar isu penyeludupan pekerja asing itu janggal dan menimbulkan persoalan.

Pada 28 Februari lalu, SPRM menahan seorang wartawan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 16(A) Akta SPRM 2009 di sebuah hotel di Shah Alam kira-kira jam 11.30 malam.

Lelaki itu ditahan reman empat hari kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM20,000 sebagai balasan untuk menurunkan artikel yang dimuat naik serta tidak menulis lagi tentang agensi pekerja asing yang didakwa terbabit dalam sindiket.

Ia susulan laporan portal berita terbabit pada 22 Februari lalu yang memetik sumber mendakwa bekas pegawai imigresen kini bergelar ‘Datuk’ sebagai dalang di sebalik kumpulan kartel yang didakwa beroperasi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

SPRM menegaskan penahanan wartawan itu berpunca kes rasuah, bukannya disebabkan laporan pendedahan dibuat.

BACA JUGA Aset pelaburan KWSP era kerajaan Madani capai RM1.25 trilion

Â