RM170 juta wang tunai, 16 kg jongkong emas disita hasil siasatan berkaitan Ismail Sabri
Sebanyak RM170 juta wang tunai dalam pelbagai mata wang asing termasuk Baht, Riyal, Pound Sterling, Won, Euro, Swiss Franc dan Yuan dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Dalam masa sama, SPRM turut menyita 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai RM7 juta berhubung siasatan rasuah dan pengubahan wang haram terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Menerusi kenyataan hari ini, SPRM memaklumkan rampasan itu dilakukan ketika penggeledahan di sebuah kediaman dan tiga buah pejabat yang dipercayai dijadikan sebagai ‘safehouse’.
Operasi penggeledahan tersebut dilakukan hasil siasatan yang dijalankan ke atas empat pegawai kanan bekas Perdana Menteri kesembilan itu yang ditahan pada bulan lalu.
Menurut SPRM, Ismail, 65, yang juga Ahli Parlimen Bera hadir ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada 19 Februari lalu untuk direkodkan keterangan.
“Namun SPRM tidak menolak kemungkinan beliau akan dipanggil semula bagi membantu siasatan,” katanya.
Jelasnya, Ismail pada 11 Disember lalu telah diarah untuk mengisytiharkan harta di bawah Seksyen 36(1) Akta SPRM 2009 dan pengisytiharan harta itu dilakukan beliau secara rasmi pada 10 Februari lalu.
Sebanyak 10 individu lagi akan dipanggil dalam tempoh terdekat bagi membantu siasatan yang tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti ketika beliau menerajui negara.
Untuk rekod, Ismail Sabri menjadi Ahli Parlimen Bera sejak Pilihan Raya Umum 2004.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia kesembilan dari 21 Ogos 2021 hingga 24 November 2022 menggantikan Tan Sri Mahiaddin Yassin tanpa melalui pilihan raya umum.
BACA JUGA Tergamak Pas perli graduan sastera, dakwa PMX ‘ganggu’ KWSP
Â