Tergamak Pas perli graduan sastera, dakwa PMX ‘ganggu’ KWSP

Seorang pemimpin Pas yang aktif di media sosial dilihat tergamak menempelak graduan universiti bidang sastera ketika mengkritik apa yang dianggapnya campur tangan Perdana Menteri dalam menentukan hala tuju pelaburan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Nurul Islam Mohamed Yusoff dalam kenyataannya hari ini yang menggunakan gelaran “Ir. Ts.” menasihati PMX agar “jangan diganggu KWSP” ketika dana persaraan itu mencatatkan prestasi dividen yang cemerlang selain lonjakan prestasi Simpanan Shariah dan peningkatan ketara caruman sukarela.

“Nasihat aku, sudahlah PMX, jangan diganggu KWSP. Biar dorang buat pelaburan mengikut keputusan jawatankuasa pelaburan mereka yang lebih pakar.

“Mereka tidak perlukan campurtangan dari seorang graduan sastera dalam menentukan halatuju pelaburan KWSP.

“Lagi elok PMX fokus kerja Fahmi Fadzil (jawab isu negara) dan Mat Sabu (cari beras tempatan yang hilang) daripada ganggu kerja pakar dalam KWSP,” tempelaknya.

Sindiran Pengarah Jabatan Kajian dan Polisi Lajnah Penerangan Pas Pusat pada hari pertama umat Islam menjalani ibadah puasa itu muncul selepas prestasi dividen KWSP yang cemerlang bukan sahaja memberi manfaat kepada simpanan persaraan ahli, tetapi juga kepada ekonomi negara secara keseluruhan.

Malah, turut membanggakan adalah Simpanan Shariah berjaya mencatat prestasi yang setanding dengan Simpanan Konvensional berikutan pelaksanaan pemisahan kedua-dua dana pada Januari 2024.

Walau bagaimanapun, pemimpin Pas dilihat ‘tidak senang’ dengan prestasi cemerlang KWSP sehinggakan Nurul Islam menganggap Perdana Menteri yang merupakan lulusan Universiti Malaya (UM) dalam bidang Pengajian Melayu sebagai mencampuri urusan KWSP.

“Aku bimbang dengan campur tangan oleh PMX ni bakal menyebabkan keuntungan KWSP semakin berkurangan dan kesannya pencarum seperti kita akan menerima pulangan yang berkurangan,” dakwa Nurul Islam.

Semakan mendapati Nurul Islam Mohamed Yusoff memiliki Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT).

Menerusi profil ResearchGate, Nurul Islam difahamkan sedang menjalani PhD di Loughborough University, United Kingdom (UK) dalam bidang pengurangan sisa makanan isi rumah.

BACA JUGA Adun Pas ‘pusing-pusing’ tak jawab pun isu komen jelik kepada PMX

Â