Beras putih tempatan akan pulih berfasa, PM sudah buat arahan kepada menteri
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah diarah untuk menyegerakan usaha pemulihan bekalan beras putih tempatan di pasaran.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah ketika menyampaikan ucapan mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, arahan tersebut dikeluarkan sendiri oleh Perdana Menteri.
“Perdana Menteri mengambil maklum berkenaan isu beras putih tempatan yang terus menjadi perhatian di negara ini.
“Perdana Menteri juga mengarahkan kementerian untuk memaklumkan perkembangan berkenaan pemulihan bekalan ini secara berkala kepada rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.
Pada semalam, beras putih tempatan sudah pun berjaya diagih di pasar raya secara berperingkat bermula dengan negeri Terengganu.
Pemantauan rapi akan dilakukan pihak berkuasa bagi memastikan bekalan 24 juta pek beras subsidi sampai ke seluruh Semenanjung Malaysia.
Sementara itu mengulas mengenai peranan Taklimat Harian PMO yang didakwa bertindih dengan tugas jurucakap Kerajaan MADANI, Perdana Menteri menegaskan bahawa ia sama sekali tidak benar.
Kata Tunku Nashrul, Taklimat Harian PMO memberi tumpuan kepada perkembangan harian dan gerak kerja Perdana Menteri, penjelasan mengenai isu semasa yang mendesak, serta arahan-arahan kepada kementerian dan agensi untuk memastikan dasar kerajaan dilaksanakan dengan tersusun dan berkesan.
Manakala peranan Fahmi Fadzil selaku jurucakap Kerajaan MADANI pula bertanggungjawab menjelaskan isu dan persoalan yang membabitkan dasar-dasar kerajaan, serta keputusan-keputusan yang dibuat di dalam Mesyuarat Jemaah Menteri.
“Taklimat Harian PMO bukan pengganti kepada jurucakap kerajaan, tetapi menjadi pelengkap dan memperkukuh struktur komunikasi kerajaan,” katanya.
BACA JUGA Ini dia gambaran bilik dengan wang RM170 juta dan jongkong emas
Â