Terlepas tiket ETS? Rebut lebih 12,000 tiket tambahan mulai 10 pagi esok
Bagi yang terlepas tiket perkhidmatan tren elektrik (ETS) sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini, esok bermula jam 10 pagi, sebanyak lebih 12,000 tiket tambahan boleh dibeli.
Menerusi satu kenyataan, KTMB berkata, empat perkhidmatan ETS tambahan disediakan sepanjang tempoh 28 Mac hingga 6 April.
Menurut KTMB, perkhidmatan tambahan itu melibatkan dua perjalanan bagi laluan KL Sentral – Padang Besar – KL Sentral.
Dua perjalanan bagi laluan KL Sentral – Butterworth – KL Sentral.
KTMB menjelaskan langkah itu diambil bagi menampung permintaan tinggi berikutan tiket perkhidmatan tren ETS sedia ada yang telah habis dijual.
“Sepanjang tempoh operasi, tren ETS tambahan ini akan menawarkan 1,260 tempat duduk sehari, termasuk pilihan tempat duduk kelas perniagaan, dengan jumlah keseluruhan 12,600 tempat duduk disediakan bagi memenuhi permintaan pengguna,” kata KTMB.
Jelasnya, penyediaan tren ETS tambahan ini mencerminkan komitmen KTMB dalam menyediakan perkhidmatan rel yang cekap, selesa, dan selamat sebagai pilihan utama perjalanan rakyat Malaysia.
Dalam masa sama, KTMB menggalakkan penumpang untuk merancang perjalanan lebih awal serta membuat pembelian tiket lebih awal bagi menikmati tambang fleksibel yang lebih menjimatkan dan mengelakkan kehabisan tiket pada saat akhir.
“Tiket boleh didapati secara tanpa tunai melalui aplikasi KTM Mobile (KITS), laman sesawang rasmi KTMB di www.ktmb.com.my, atau di mesin kios KTMB bagi kemudahan dan keselesaan pelanggan,” katanya.
Hubungi Pusat Panggilan KTMB di 03-9779 1200 untuk pertanyaan lanjut atau layari platform media sosial rasmi KTMB untuk maklumat terkini.
BACA JUGA Sudahlah tiga pemuda ini tak puasa, terkejut lihat air apa atas meja