Akta PSB tidak melemahkan kuasa orang Melayu – Sheikh Umar kepada Tun M
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP, Sheikh Umar Bagharib Ali menyanggah kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mendakwa Akta Pembaharuan Semula Bandar (PSB) akan melemahkan orang Melayu.
Sheikh Umar berkata, pindaan Akta PSB sama sekali tidak menjejaskan kuasa politik Melayu, sebaliknya ia adalah bukti keprihatinan kerajaan MADANI untuk menaik taraf kehidupan rakyat di bandar.
“Kenyataan Tun Mahathir yang seolah-olah cuba menggambarkan Akta PSB sebagai instrumen menindas dan melemahkan orang Melayu juga adalah tidak tepat.
“Hakikatnya, hak setiap warganegara kita adalah dilindungi oleh undang-undang.
“Perkara 13 Perlembagaan Persekutuan telahpun memberikan jaminan kepada rakyat terhadap harta yang mereka punyai dimana tiada individu boleh dilucutkan hak pemilikannya kecuali mengikut lunas undang-undang serta pampasan yang adil,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mahathir dalam catatan di Facebook berkata, penduduk Melayu di bandar-bandar akan berkurang apabila Akta PSB dilaksanakan kerana katanya, “si miskin tidak mampu sewa atau beli flat yang harganya tinggi”.
Kata beliau, jika mengambil contoh pembaharuan bandar di Singapura, maka selepas ini jumlah orang Melayu dalam bandar akan kurang dan pemisahan antara Melayu dan bukan Melayu di negara ini akan menjadi lebih luas.
Bagaimanapun dakwaan itu disangkal Sheikh Umar yang menegaskan, kerajaan akan membantu untuk perundingan yang lebih adil berbanding sebelum penguatkuasaan Akta PSB di mana pemaju berunding secara terus dengan pemilik dan berlaku pelbagai insiden tak diingini seperti ugutan, pergaduhan, ancaman serta pengusiran.
Bahkan jelasnya, tiada sebarang unsur paksaan atau isu gentrifikasi dalam penggubalan akta.
“Mekanisma penting perlaksanaan Akta PSB adalah mendapatkan persetujuan pemilik hartanah melalui perundingan, bukannya pengambilan secara paksa.
“Saya anggap kenyataan Tun Mahathir berkaitan pindaan Rang Undang-Undang ini ialah suatu percubaan untuk memberi imej negarif terhadap usaha dilakukan oleh Kerajaan MADANI.
“Hakikatnya, Akta PSB bukan untuk melemahkan kuasa orang Melayu sebaliknya untuk menaik taraf kehidupan rakyat agar memiliki kehidupan yang lebih manusiawi, bermaruah dan sempurna,” katanya lagi.
BACA JUGA Dividen KWSP: ‘Apa kata sebelum YB Machang komen, buat kajian dulu’
Â