Anwar akan turun lihat sendiri harga, kualiti makanan di bazar Ramadan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) untuk melakukan pemantauan harga makanan di Bazar Ramadan.

Beliau tidak mahu ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga secara tidak wajar.

Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah dalam sidang media Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri hari ini.

Nashrul berkata, sepanjang Ramadan ini Perdana Menteri akan turun sendiri melihat harga dan kualiti makanan di bazar Ramadan secara langsung.

“YAB Perdana Menteri sendiri akan melawat beberapa Bazar Ramadan bagi melihat sendiri harga dan kualiti makanan secara langsung, di samping memberikan sokongan kepada peniaga-peniaga kecil.

“Beliau juga mengarahkan supaya ditingkatkan kekerapan Program Jualan Rahmah Madani sepanjang bulan Ramadan dan menjelang bulan Syawal,” katanya.

Dalam perkembangan lain, hari ini Perdana Menteri telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, bagi membincangkan isu-isu utama berkaitan kos sara hidup rakyat.

Dalam pertemuan itu, Anwar mengarahkan KPDN untuk menggandakan pemantauan dan penguatkuasaan menerusi Ops Pantau 2025.

Ini termasuk memastikan pemantauan dilakukan lebih kerap bagi menjamin bekalan barangan keperluan rakyat sepanjang Ramadan dan Aidilfitri sentiasa mencukupi.

“Perdana Menteri mahu strategi intervensi dilaksana segera bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sekiranya terdapat gangguan bekalan,” kata Nashrul.

BACA JUGA Lulus majoriti, PM ucap penghargaan MP sokong RUU Perkhidmatan Parlimen

Â