Lulus majoriti, PM ucap penghargaan MP sokong RUU Perkhidmatan Parlimen
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyampaikan penghargaan kepada Ahli-ahli Parlimen yang memberi sokongan penuh kepada Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 yang diluluskan di Dewan Rakyat hari ini.
Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata, dengan dukungan penuh dua pertiga Ahli Parlimen, ternyata ia adalah bukti nyata betapa kukuh dan stabil Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri.
Beliau yang menyampaikan ucapan mewakili Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan 57 Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menyokong pindaan ini telah mengkhianati usaha reformasi institusi Parlimen
“Namun ini tidak mengejutkan memandangkan gerombolan yang sama juga telah merobek serta menginjak demokrasi Parlimen dengan menyekat sidang Dewan Rakyat sebelum ini,” katanya dalam Taklimat Harian Pejabat PMO.
RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025 diluluskan Dewan Rakyat hari ini bagi membolehkan kerajaan mengembalikan dan menguatkuasakan semula Akta Perkhidmatan Parlimen.
Pindaan RUU itu diluluskan dengan sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen menerusi undian belah bahagian di mana 148 undi menyokong, 57 tidak mengundi dan 17 tidak hadir.
RUU ini menjadi reformasi penting dalam memberikan kematangan kepada sistem demokrasi negara, membuka ruang kepada Parlimen untuk menjalankan fungsi dengan lebih bebas, serta menjadikan Parlimen sebagai mercu tanda kebebasan bersuara.
BACA JUGA Pas pula kalut selepas PM9 jadi suspek kes pengubahan wang haram
Â