Gempar isteri usahawan ini maut terjatuh kondominium, siapa sebenarnya Akiko Okumura?
Nama Akiko Okumura menjadi bualan warga maya selepas pemergiannya yang mengejutkan pada Jumaat, 28 Februari lalu.
Wanita Jepun berkenaan merupakan isteri kepada pempengaruh media sosial dan usahawan terkenal Malaysia, Ridzuan Ridzokumura atau dikenali sebagai Ridz Okumura.
Allahyarham yang berusia 50-an ditemukan maut dipercayai terjatuh dari tingkat empat sebuah kondominium di SS16 Subang Jaya.
Jasad ibu kepada seorang cahaya mata itu dalam keadaan tertiarap di atas tanah.
Siasatan awal polis mengesahkan bahawa tiada unsur jenayah dalam kematian tersebut tetapi siasatan secara menyeluruh dilakukan sama ada wujud unsur jenayah, tindakan sendiri atau sebagainya.
Akiko dikatakan berasal dari keluarga kaya di Jepun tetapi memilih untuk meninggalkan kehidupan mewah demi cintanya kepada suami.
Beliau dan Ridzuan berkahwin pada Februari 2009 dan dikurniakan seorang anak lelaki bernama Sky Taizo Okumura, yang baharu sahaja menyambut ulang tahunnya yang ke-13 sehari sebelum pemergian ibunya.
Dikenali sebagai seorang wanita yang penyayang dan setia kepada keluarganya, Akiko sering menyokong perjalanan hidup dan kerjaya suaminya dalam dunia perniagaan serta media sosial.
Pemergian Akiko pada 28 Februari 2025 iaitu dua hari lagi umat Islam menyambut Ramadan mengundang kesedihan dalam kalangan keluarga, rakan-rakan serta pengikut suaminya di media sosial.
Akiko dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ22, Subang Jaya, dengan kehadiran ahli keluarga serta kenalan rapat.
Ridz turut berkongsikan perasaan sedihnya di media sosial, memberitahu bahawa isterinya sebelum ini berhasrat untuk menyediakan juadah sahur dan berbuka puasa bagi menyambut Ramadan, tetapi hajat tersebut tidak kesampaian.
Pemergian Akiko Okumura bukan sahaja meninggalkan kesan mendalam terhadap keluarganya tetapi turut dirasai oleh masyarakat yang mengikuti kisah pasangan ini.
Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
BACA JUGA Mengejutkan masih ada lagi hantaran Harith isu ‘ham’, apa kata MCMC?
Â