Mengejutkan masih ada lagi hantaran Harith isu ‘ham’, apa kata MCMC?
Akaun dan kandungan menghina agama Islam yang dimuat naik pelawak dan pelakon Harith Iskander di akaun Facebook masih belum diturunkan walaupun aduan sudah dibuat.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berkata, pihaknya masih dalam proses menjalankan siasatan.
Lapor BH, MCMC dalam penjelasan ringkas turut mengesahkan menerima aduan daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) supaya tindakan sekatan akaun dan menurunkan kandungan dilakukan.
Namun, sehingga kini, tindakan seperti diminta JAKIM belum dilaksanakan.
“Pihak MCMC menerima aduan daripada pihak JAKIM berkaitan hantaran berbaur penghinaan terhadap agama Islam di platform media sosial Facebook oleh pemilik akaun Harith Iskander.
“Buat masa ini, kes tersebut masih dalam proses siasatan,” lapor BH memetik kata agensi di bawah Kementerian Komunikasi itu.
Pada 18 Januari lalu, Harith mengundang kecaman banyak pihak termasuk laporan polis dan siasatan oleh pihak berkuasa agama selepas memuat naik satu hantaran di Facebook yang mengulas secara jenaka mengenai minuman kopi bernama “Ham Sap Kopi”.
Dalam hantaran itu, selebriti berkenaan secara sarkastik membangkitkan isu ‘ham’ yang menjadi kontroversi sebelum itu apabila kedai rangkaian serbaneka menjual sandwic ham tanpa sijil halal sah di sebuah universiti awam.
Jenaka sinis Harith kemudiannya membuka ruang mempersendakan Islam apabila pemilik akaun Facebook, Cecelia Yap Song KL meninggalkan komen pada hantaran itu yang mengaitkan ‘ham’ dengan nama Nabi Muhammad SAW.
Cecelia Yao kemudiannya menerusi kenyataan dikeluarkan firma guaman mewakilinya Saibullah MV Nathan dan Co tampil memohon maaf.
Dia amat kesal atas kenyataan sensitif disiarkan di dalam media sosial sehingga menyinggung perasaan orang ramai dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan tersebut.
Susulan itu, Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee, berkata pihaknya sudah membuat laporan polis dan akan memanggil Harith berhubung hantaran yang didakwa menghina Islam itu.
Tegasnya, JAKIM tidak sesekali berkompromi dengan sebarang tindakan mempersendakan ajaran Islam dan menyinggung sensitiviti umat Islam.
BACA JUGA Penyampai radio persenda Thaipusam: Ini penegasan Menteri Perpaduan Negara
Â