Heboh Khairul Aming buat menu air berbuka, pakar dedah realiti kesihatan rakyat Malaysia

Perkongsian empat menu air berbuka puasa oleh pempengaruh tersohor, Khairul Aming tular di media sosial sehingga turut mengundang reaksi pakar kesihatan.

Terdahulu, pengeluar Sambal Nyet Berapi dan Dendeng Nyet Berapi berkenaan memuatnaik video menu air yang menyelerakan tetapi dilihat tinggi kandungan gula.

Ribuan warganet dilihat teruja berkongsikan empat menu tersebut iaitu Vanila Sarsi, Teh Bunga Zapple, Vitagen Longan dan Kopi Santan Vietnam.

Namun, dalam masa sama, pakar kesihatan berharap agar orang ramai berwaspada dengan risiko menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.

Antaranya, Azrul Mohd Khalib menasihatkan agar statistik berkaitan diabetes dihidapi rakyat Malaysia dipertimbangkan terlebih dahulu sebelum mencuba menu Khairul Aming itu.

“Malaysia mempunyai insiden diabetes tertinggi di Asia Tenggara. 95% ialah diabetes melitus Jenis 2 (T2DM) 5% ialah Jenis 1.

“20% atau 1 dalam 5 kini mengalami T2DM, daripada 11.2% pada 2011.

“Tahun ini, seramai 7 juta orang menghidap kencing manis. Rawatan hampir keseluruhannya akan disubsidi oleh dana cukai.

“Jaga diri,” katanya di platform X.

Dr Rafidah Abdullah

Sementara itu, Dr Rafidah Abdullah mengajak masyarakat Malaysia minum air kosong sahaja agar diri sihat sepanjang bulan Ramadhan ini.

“Saya ingin mengajak masyarakat Malaysia minum air kosong sahaja. Saya tidak akan teragak-agak untuk menegur sesiapa sahaja yang buat konten makanan atau minuman yang tidak sihat.

“Kalau rasa sedikit, tiada masalah. Jangan dibiasakan.

“Jom kita sihatkan diri di dalam bulan Ramadhan ini,” kata Dr Rafidah lagi.

BACA JUGA Turun lori sekali silap jumpa orang, tindakan pemandu SUV ini tarik perhatian