Penyampai radio persenda Thaipusam: Ini penegasan Menteri Perpaduan Negara
Tindakan penyampai radio sebuah stesen swasta tempatan yang didakwa mempersenda agama Hindu baru-baru ini turut mengundang kecaman Menteri Perpaduan Negara.
Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya menggesa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bertindak mengikut peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Jelasnya, Tindakan itu bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan yang bersifat menyentuh sensitiviti kaum di media masaa dikenakan tindakan sewajarnya.
“Kita harus sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia.

“Sebarang perbuatan yang menyinggung perasaan agama lain tidak sepatutnya diterima dalam masyarakat kita yang berbilang kaum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menegaskan tindakan penyampai radio terbabit bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.
“Sebagai sebuah negara yang majmuk, kita harus memupuk semangat saling menghormati antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang agama atau bangsa,” katanya.
Terdahulu, orang ramai mengecam tindakan salah seorang penyampai radio menari dengan nyanyian ‘vel vel’, seolah-olah mengejek perayaan penganut Hindu itu.
Dalam perkembangan berkaitan, tiga penyampai radio popular Era FM iaitu Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin memohon maaf secara terbuka kepada semua pihak susulan penyiaran kandungan video mereka bertiga yang menyinggung sensitiviti masyarakat, khususnya kaum India.
Ketiga-tiga penyampai segmen 3 Pagi Era itu mengakui kesilapan mereka dan berikrar kekhilafan yang sama tidak akan berulang lagi pada masa depan.
Pengurusan tertinggi Era FM turut memohon maaf dengan insiden yang telah mencetuskan perasaan kurang senang itu.
BACA JUGA Selepas jongkong emas ditemui, tular kembali aksi anak Ismail Sabri menari