Selepas jongkong emas ditemui, tular kembali aksi anak Ismail Sabri menari

Klip video anak kepada bekas Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob rancak menari mengikut ‘beat’ lagu Barat tular kembali dengan deretan komentar lucu warga maya.

Berdurasi hanya 18 saat, rakaman tarian Dafi, 36, itu mula dimuatnaik di TikTok pada 2023 dengan jumlah lebih 345,000 tontonan setakat ini.

Dafi atau nama sebenarnya Gaddafi Ismail Sabri merupakan peserta program realiti televisyen, Akademi Fantasia musim kelima (AF5) pada 2007.

Aksi pemegang Diploma Profesional dalam Seni Muzik dan Bunyi dari Universiti Teknologi Kreatif Limkokwing itu jadi sebutan orang ramai susulan penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Turut dirampas dalam serbuan di sebuah kondominium di ibu negara yang dijadikan ‘safe house’ oleh pembantu kepada Ismail Sabri ialah 16 kilogram jongkong emas tulen dianggarkan mencecah hampir RM7 juta.

Ekoran rampasan mengejutkan itu, SPRM mengesahkan Ismail Sabri kini sebagai suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram disiasat agensi itu dan bukan lagi sebagai saksi.

Ahli Parlimen Bera itu melakukan perincian harta mengikut Seksyen 36 Akta SPRM.

Sebelum ini, empat individu termasuk bekas pegawai kanan Ismail Sabri ditahan manakala bapa Dafi itu dipanggil SPRM minggu lalu.

BACA JUGA Heboh Khairul Aming buat menu air berbuka, pakar dedah realiti kesihatan rakyat Malaysia