Rehatkan Razman petanda Pas, PN sedang bergolak, kata AMK Perak
Keputusan merehatkan Razman Zakaria daripada tugas Pesuruhjaya Pas Perak memberi petanda ketidaktentuan hala tuju pembangkang di negeri itu yang semakin goyah.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi berkata, merehatkan Razman tidak akan mengubah hakikat bahawa pembangkang di Perak berada dalam keadaan kucar-kacir.
Menurutnya Razman selama ini sudah menjadi simbol politik kebencian dan hari ini terbukti strategi itu memakan diri sendiri.
“Razman selama ini menjadi simbol politik kebencian dan retorik kosong. Dari memainkan sentimen kaum dan agama, hingga menyerang pemimpin kerajaan dengan fitnah yang tidak berasas—akhirnya strategi ini memakan diri sendiri.
“Pas nampaknya sedar bahawa corak politik sebegini tidak lagi relevan tetapi soalnya, adakah mereka benar-benar mahu berubah atau ini sekadar strategi kosmetik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zaim berkata, AMK Perak ingin mengingatkan rakyat bahawa politik bukan sekadar retorik tetapi tentang rekod dan keberkesanan kepimpinan.
Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad telah membuktikan komitmen dalam membangunkan negara dan negeri dengan dasar-dasar yang inklusif dan berorientasikan kebajikan rakyat.
BACA JUGA Anwar akan turun lihat sendiri harga, kualiti makanan di bazar Ramadan