‘Anwar selesai tuntutan mahkamah tanda kematangan politik’
Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor Saifuddin Shafi Muhammad menyifatkan keputusan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelesaikan tuntutan beliau terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu Datuk Ahmad Amzad sebagai tanda kematangan politik yang turut ditunjukkan oleh Datuk Seri Amiruddin Shari dalam kes tuntutan terhadap Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor.
“Langkah berjiwa besar dua pimpinan ini adalah mencerminkan kematangan politik dan menunjukkan beberapa kaedah politik yang baik bagi mencipta persepsi yang lebih baik di kalangan rakyat yang memerhatikan,” katanya dalam satu kenyataan.
Saifuddin menambah bahawa penyelesaian saman tidak menjamin kesedaran politik terutamanya kepada mereka yang berpaksikan sentiment perkauman dan fitnah semata-mata.
Berdasarkan kes saman oleh pimpinan DAP – Lim Guan Eng (PH-Bagan), Lim Kit Siang dan Teresa Kok (PH-Seputeh) ke atas Siti Mastura Muhammad (PN-Kepala Batas), beliau berkata Siti Mastura sedikitpun tidak merasa kesal mahupun rasa bersalah malah tindakan saman tersebut telah digunakan sepenuhnya untuk meraih simpati dan mengumpul dana yang digunakan untuk membayar tuntutan saman.
Saifuddin turut mengambil peluang membidas suara-suara golongan tertentu yang “berteriakan sepanjang minggu lalu kononnya begitu kecewa dengan tindakan memaafkan Sanusi.
“… pasti buntu dengan keputusan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini.
“Samada golongan suara sumbang ini akhirnya mengakui kedunguan mereka atau tiada keberanian menempelak apabila ianya melibatkan seorang pemimpin utama negara, ianya tidak dapat dipastikan,” tambah Saifuddin.
Pagi ini Anwar telah menarik balik saman fitnah terhadap Datuk Ahmad Amzad Hashim (PN-Kuala Terengganu).
BACA JUGA: MP Pas tarik balik kenyataan, PMX tarik balik saman fitnah
Â