MP Pas tarik balik kenyataan, PMX tarik balik saman fitnah

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menarik balik saman fitnah terhadap Ahli Parlimen Kuala Terengganu dari Pas, Ahmad Amzad Hashim.

Peguam Anwar, Sankara Nair, hari ini mengesahkan kedua-dua pemimpin berkenaan telah mencapai penyelesaian dalam saman fitnah yang difailkan oleh Anwar pada 22 Disember 2022.

“Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung oleh kedua-dua pihak, pihak-pihak telah bersetuju untuk menamatkan pertikaian ini memandangkan terdapat lebih banyak isu yang lebih besar dan/atau penting yang perlu diberikan perhatian.

“YAB Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dan YB Datuk Haji Ahmad Amzad Bin Hashim mengambil keputusan untuk menghentikan pertikaian peribadi mereka di prosiding Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Terengganu, di bawah Guaman Sivil No: TA-23CY-3-12/2022,” menurut kenyataan itu.

Jelas Sankara, Anwar dan Amzad menyatakan penghargaan mereka kepada hakim mahkamah sivil dan pegawai kehakiman.

“(Kedua-dua pihak) juga berharap agar keputusan ini dapat diterima dan dihormati oleh semua pihak serta tidak dijadikan sesuatu yang boleh menjejaskan kesejahteraan dan keharmonian di Malaysia,” menurut kenyataan bersama Anwar dan Amzad.

Melalui persetujuan tersebut, plaintif menarik balik saman tersebut tanpa kebebasan untuk memfailkan semula dan tanpa perintah kos.

BACA JUGA Berita baik untuk penjawat awam Pulau Pinang, ada bonus besar di hari raya