Apa status ADUN Melalap ini selepas tempoh 14 hari? Ini penjelasan Speaker DUN Sabah
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap mempunyai masa selama 14 hari untuk menggunakan saluran perundangan selepas rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara ditolak.
Datuk Peter Anthony yang juga bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah memiliki tempoh itu sebelum kerusinya bakal dikosongkan secara automatik.
Beliau yang juga Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) kekal dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 kerana memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Ia susulan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan Putrajaya terdiri daripada Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin, semalam menolak rayuan akhir Peter, 54, terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Mei 2022.
Menurut Speaker DUN Sabah, Datuk Kadzim M Yahya, tempoh hukuman terbabit berkuat kuasa bermula semalam susulan penolakan rayuan Peter bagi kes berkaitan pemalsuan dokumen oleh Mahkamah Rayuan.
Terdahulu, pemimpin berusia 54 tahun itu dipenjara tiga tahun serta didenda RM50,000 atas kesalahan memalsukan dokumen berhubung kontrak kerja penyelenggaraan dan perkhidmatan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 2014.
Untuk rekod, Peter Anthony menjadi ADUN Melalap sejak 26 September 2020, selepas menang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020.
Beliau bertanding atas tiket Parti Warisan Sabah (Warisan) ketika itu tetapi kemudian keluar parti dan menubuhkan KDM pada 2022.
BACA JUGA Ini sebabnya PM ke setiap negeri mulai minggu depan
Â