Berita baik untuk penjawat awam Pulau Pinang, ada bonus besar di hari raya

Kerajaan Pulau Pinang bersetuju memberi bonus sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 kepada penjawat awam di negeri itu sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, kerajaan negeri bersetuju meluluskan pemberian bantuan khas kewangan (BKK) itu yang akan dikreditkan ke akaun bank mulai 19 Mac ini.

Beliau berkata, ia sebagai tanda penghargaan kepada penjawat awam yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi dalam menjayakan aspirasi negeri.

“Kerajaan negeri turut bersetuju menyalurkan BKK sebanyak RM300 kepada penyelia, guru serta kakitangan Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), sekolah rendah agama rakyat (SRAR), sekolah menengah agama rakyat (SMAR), sekolah agama bantuan kerajaan (SABK), tahfiz, pondok, tadika Islam (TADIS) dan sekolah persendirian Cina di negeri ini.

“Pemberian ini juga akan dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan serta Badan Berkanun Negeri, tertakluk kepada kemampuan kewangan masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan pagi ini.

Pelaksanaan bantuan khas ini membabitkan implikasi kewangan berjumlah RM7.81 juta dan akan memberi manfaat kepada 7,066 penerima di seluruh negeri.

Ujarnya, inisiatif itu sejajar dengan usaha kerajaan negeri dalam merealisasikan Visi Penang2030, iaitu ke arah sebuah negeri pintar dan hijau berteraskan keluarga inspirasi negara.

BACA JUGA Ini gambaran longgokan Wang Tak Dituntut, ada caranya tuntut RM12.7 bilion