Ini gambaran longgokan Wang Tak Dituntut, ada caranya tuntut RM12.7 bilion
Imej janaan ChatGPT ini menunjukkan gambaran longgokan jumlah baki Wang Tak Dituntut (WTD) mencecah RM12.7 bilion yang direkodkan sehingga 31 Januari lalu.
Dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat, Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa bagi tuntutan WTD, individu atau waris yang berhak boleh mengemukakan permohonan secara dalam talian di laman sesawang https://egumis.anm.gov.my/ atau hadir ke kaunter Jabatan Akauntan Negara Malaysia (JANM) di setiap negeri.
Menurut kementerian itu, JANM mengambil pelbagai langkah untuk memaklumkan mengenai WTD kepada pemilik atau waris.
Antaranya, melalui kempen kesedaran menerusi taklimat dan reruai yang dilaksanakan di program kerajaan dan swasta, seperti Program Madani Rakyat, hari terbuka dan hari pelanggan jabatan kerajaan serta di tempat awam.
“Ini bagi membolehkan orang ramai membuat semakan, sama ada mereka mempunyai wang yang masih belum dituntut.
“Sehingga 2024, sebanyak 158 reruai dan program kesedaran diadakan di seluruh Malaysia untuk memaklumkan orang ramai mengenai kewujudan WTD dan kaedah menuntutnya,” kata Kementerian Kewangan.
Penjelasan berkenaan susulan soalan S Kesavan (PH-Sungai Siput) mengenai jumlah terkini WTD dan proses menuntut wang itu serta langkah diambil kerajaan untuk memaklumkan mengenai WTD kepada pemilik atau waris mereka.
Pada masa sama, Kementerian Kewangan, berkata JANM turut mengadakan taklimat secara dalam talian kepada agensi kerajaan dan swasta bagi menerangkan kaedah semakan dan tatacara permohonan tuntutan WTD.
BACA JUGA Ismail Sabri tak sihat, proses rekod keterangan esok ditangguh
Â