Gara-gara tarian dan sorakan ‘Vel, Vel’, enam staf radio Era diambil keterangan lebih dua jam
Enam kakitangan stesen radio Era selesai memberi keterangan di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bukit Aman, di sini, kira-kira jam 1.10 tengah hari tadi.
Kesemua mereka keluar dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dengan menaiki Toyota Vellfire warna hitam selepas merekodkan keterangan lebih dua jam.
Keenam-enamnya termasuk penyampai 3 Pagi Era, Nabil Ahmad, Radin dan Azad Jasmin, berlalu pergi tanpa menyapa sekumpulan wartawan yang hadir membuat liputan kes tersebut.
Semalam, tiga penyampai radio itu sudah tampil memohon maaf atas video kontroversi yang dilihat mempersenda tarian kavadi Hindu.
Klip video tersebut mengundang kecaman banyak pihak terutamanya penganut Hindu kerana mempersendakan upacara keagamaan.
Sementara itu, pihak Astro Audio telah menggantung tiga penyampai radio Era terbabit dan menggantikan mereka dengan Munabella dan Namie.
Era FM turut mengeluarkan Pesanan Khidmat Masyarakat (PSA) menyatakan permohonan maaf dan kekesalan susulan konten kontroversi yang tular sejak semalam.
“Kami di Astro Audio melahirkan rasa kekesalan dengan insiden yang telah menyakitkan dan mengundang kekecewaan pelbagai pihak melibatkan tiga penyampai radio Era.
“Kami akan memastikan setiap kandungan disiarkan mematuhi kesemua garis panduan yang ditetapkan,” katanya.
BACA JUGA Ini sebabnya PM ke setiap negeri mulai minggu depan