Harith Iskander, Cecelia Yap akhirnya dikompaun RM10,000
Selebriti Harith Iskander dan Cecelia Yap Song masing-masing dikompaun RM10,000 oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
Kompaun itu dikenakan atas kesalahan memuat naik kandungan dan komen jelik melibatkan agama Islam berkaitan istilah ‘ham’ di Facebook, Januari lalu lalu.
SKMM menerusi kenyataan sebentar tadi memaklumkan kompaun tersebut adalah mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
“Selepas menerima permohonan daripada SKMM, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook.
“Selain itu, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-da individu terbabit juga telah dibuat. Permohonan tersebut kini dalam penelitian dan penilaian pihak Meta,” menurut kenyataan SKMM.
Pada 18 Januari lalu, Harith berkongsi gambar minuman ‘ham sap kopi’ dengan kapsyen yang menyatakan kekeliruannya mengenai perkataan ‘ham’ dan kesan terhadap keimanannya.
‘Ham sap’ juga dikenali sebagai istilah slanga dalam bahasa Kantonis yang bermaksud lucah atau tidak senonoh.
Humor itu dibuat susulan kontroversi mengenai status halal sandwic ‘ham and cheese’ yang dijual di sebuah kedai serbaneka apabila terdapat kekeliruan mengenai penggunaan istilah ‘ham’ yang biasanya merujuk kepada daging babi.
Hantaran Harith itu menerima pelbagai reaksi orang ramai termasuk Cecelia Yap meninggalkan komen yang dianggap menghina Islam dan Nabi Muhammad SAW.
Komentar Cecelia yang menghina Islam itu mengundang kemarahan dalam kalangan masyarakat, mengakibatkan beberapa laporan polis dibuat terhadap kedua-dua mereka.
BACA JUGA Ini gambaran longgokan Wang Tak Dituntut, ada caranya tuntut RM12.7 bilion
Â