Malaysia bakal lakar sejarah meterai kerjasama dengan syarikat pereka cip terbesar dunia

Malaysia bakal melakar sejarah dalam industri teknologi global di mana Kerajaan Malaysia akan memeterai kerjasama strategik dengan syarikat pereka cip terbesar di dunia yang berpengkalan di United Kingdom, petang ini.

Kerjasama itu bakal mengubah landskap kecerdasan buatan (Al) dan semikonduktor negara, kata Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah.

Pemeteraian kerjasama dengan syarikat pereka seni bina cip terbesar itu adalah hasil inisiatif Kerajaan MADANI melalui Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Kementerian Kewangan, dan Kementerian Ekonomi.

“Perdana Menteri melihat kerjasama ini sebagai langkah strategik untuk memperkukuh ekosistem teknologi negara, sekali gus meletakkan Malaysia sebagai pemain utama dalam arena teknologi global.

“Dengan termetrainya perjanjian kerjasama ini, Malaysia mendahului negara lain sebagai rakan ekosistem teknologi pertama bagi syarikat ini, menjadikannya hab utama di ASEAN.

“Malaysia juga menjadi negara pertama di rantau ini di mana syarikat tersebut akan membuka pejabatnya,” kata Tunku Nashrul.

Kerjasama ini membolehkan syarikat Malaysia memanfaatkan teknologi dan kepakaran termaju dalam bidang semikonduktor serta melatih tenaga mahir tempatan.

Ini akan mempercepatkan pertumbuhan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan memperkukuh daya saing industri teknologi negara.

Tunku Nashrul berkata, peluncuran dan pemeteraian kerjasama strategik ini juga menjadi bukti kepercayaan pelabur-pelabur dunia terhadap dasar Kerajaan MADANI dan terus melaksanakan kerjasama bernilai tinggi dengan Malaysia.

BACA JUGA Selepas mohon maaf, 3 DJ dan tiga lagi petugas radio Era FM dipanggil Bukit Aman

Â