Selepas mohon maaf, 3 DJ dan tiga lagi petugas radio Era FM dipanggil Bukit Aman

Tiga penyampai radio dan tiga lagi kakitangan stesen Era FM dipanggil ke Bukit Aman pagi ini.

Keenam-enam mereka dirakam percakapan berhubung siasatan mengenai dakwaan mempersenda upacara agama Hindu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata mereka akan diambil keterangan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Setakat ini, sebanyak 44 laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan isu terbabit,” katanya, dipetik BH.

Beliau berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 298 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Aksi melawak tidak kena gaya oleh salah penyampai radio itu mengundang rasa tidak puas hati pihak tertentu sehingga didakwa mempersenda upacara agama lain menerusi media sosial.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) kemudiannya membuka kertas siasatan selepas menerima laporan daripada seorang jurutera berusia 44 tahun.

Pengadu melihat satu hantaran video di aplikasi Facebook memaparkan beberapa individu daripada pihak stesen radio terbabit didakwa mempersendakan agama Hindu termasuk bersorak perkataan ‘Vel,Vel’ manakala seorang lelaki sedang menari.

Susulan itu, penyampai radio slot 3 Pagi Era iaitu Nabil Ahmad, Azad Jazmin dan Radin tampil memohon maaf berikutan penghasilan video kontroversi dilihat mempersendakan tarian kavadi Hindu.

BACA JUGA Berita baik untuk penjawat awam Pulau Pinang, ada bonus besar di hari raya

Â