Asyraf Wajdi beri amaran jangan kaitkan UMNO dengan duit RM170 juta disiasat SPRM
UMNO menegaskan bahawa parti itu tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta yang kini sedang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Setiausaha Agungnya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, parti itu memandang serius cubaan mengaitkan UMNO dengan penemuan wang tunai berkenaan.
“UMNO menegaskan bahawa parti ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan penemuan tersebut dan berpendirian bahawa SPRM harus diberikan ruang untuk menjalankan siasatan secara telus, bebas, dan adil tanpa sebarang gangguan,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.
Asyraf juga memberi amaran bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang secara sengaja mengaitkan, menuduh, atau mencipta persepsi bahawa UMNO mempunyai hubungan dengan kes yang sedang disiasat.
Terdahulu SPRM mengesahkan dan mempamer kepada umum penemuan wang tunai berjumlah RM170 juta, serta 16kg jongkong emas dan beberapa longgokan barang kemas yang belum dinilai.
Datuk Seri Ismail Sabri yang sebelum ini disiasat sebagai saksi kini disahkan menjadi suspek dalam kes rasuah dan pengubahan wang haram susulan penemuan wang tunai itu.
BACA JUGA Bersih ucap syabas Kerajaan MADANI lulus RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025
Â