Bersih ucap syabas Kerajaan MADANI lulus RUU Perlembagaan (Pindaan) 2025
Bersih menyifatkan lulusnya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2025 merupakan langkah besar bagi mengembalikan kuasa Parlimen dalam pentadbiran dan kewangannya sendiri.
Dalam satu kenyataan hari ini, Bersih mengucapkan syabas kepada Kerajaan MADANI, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Datuk Seri Azalina Othman Said yang komited untuk merealisasikan reformasi institusi yang penting ini.
Namun katanya, detik bersejarah ini adalah permulaan kerana RUU yang diluluskan adalah versi hibrid dan bukanlah versi ideal autonomi sepenuhnya.
“Tempoh peralihan dua tahun yang dijanjikan oleh Azalina untuk mencapai tujuan pewujudan semula akta ini perlu terus didesak oleh Ahli-Ahli Parlimen terutamanya, rakan-rakan CSO serta rakyat Malaysia.
“Proses libat urus perlu diteruskan, terutamanya melalui Jawatankuasa Bersama antara Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta penyertaan bersama anggota masyarakat sivil,” kata Jawatankuasa Pemandu Bersih.
Untuk pemerkasaan Parlimen seterusnya, Bersih menggesa pindaan terhadap Peraturan Mesyuarat dilakukan bagi memperkukuh fungsi jawatankuasa-jawatankuasa Parlimen.
Hal ini akan memastikan Ahli Parlimen daripada backbencher dan pembangkang dapat menjalankan fungsi semak dan imbang yang sebenar kepada badan Eksekutif, sekaligus memberi tumpuan hakiki mereka untuk membahas polisi-polisi kerajaan dengan lebih berkesan
Bersih juga mengulangi harapan dan tuntutan untuk diwujudkan sebuah Jawatankuasa Tetap khusus berkaitan hal ehwal pilihan raya.
Katanya ini adalah penting bagi memastikan jawatankuasa tersebut mempunyai status yang sama seperti Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dan tidak boleh diwujudkan berdasarkan keperluan kerajaan yang memerintah kerana pilihan raya adalah asas kepada legitimasi kerajaan dan demokrasi negara.
“Bersih menyeru semua pihak, termasuk masyarakat sivil dan rakyat Malaysia keseluruhannya untuk terus memainkan peranan dalam menuntut reformasi institusi demi sebuah demokrasi yang lebih matang dan berfungsi.
“Dengan adanya autonomi Parlimen yang lebih kukuh ini, diharapkan sistem tadbir urus negara dan pembuatan dasar dapat diperkasakan serta membawa manfaat yang lebih besar kepada rakyat terbanyak,” ujarnya.
BACA JUGA Perak umum bonus raya RM1,500, negeri lain macam mana?
Â