Tuduhan fitnah dan tidak berasas, ini bukti kerajaan tidak berdiam apabila Islam dihina
Kerajaan tidak berdiam apabila agama Islam dihina seperti dicanangkan dalam tuduhan dan persepsi.
Menurut Setiausaha Akhbar Kanan kepada Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah, persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila Islam dihina adalah fitnah dan tidak berasas.
Beliau pada Taklimat Harian Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang disiarkan melalui Facebook PMO Malaysia hari ini berkata, sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa.
Jelasnya, sebagai contoh kes kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stokin, syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000; seorang lelaki persenda perkataan “Allah” didenda RM12,000 dan dipenjara 6 bulan.
Turut sama dikenakan tindakan ialah kes membabitkan peniaga jagung bakar meletak notis perkauman, didenda RM400.
Terkini, pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000.
“Dalam kes yang saya senaraikan tadi, jelas semuanya disiasat, didakwa, dan akhirnya dihukum dan kesemua tindakan terbabit adalah berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara,” katanya.
Tambahnya, tindakan tersebut adalah mesej yang tegas kepada semua rakyat Malaysia untuk menghentikan budaya menghina mana-mana agama, budaya, dan kaum di mana-mana ruang di negara ini.
BACA JUGA Asyraf Wajdi beri amaran jangan kaitkan UMNO dengan duit RM170 juta disiasat SPRM