Ismail Sabri ke SPRM lagi esok, siasatan masih berjalan
Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijadualkan memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 10 pagi esok di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya.
Beliau sepatutnya hadir pada 5 Mac lalu tetapi sesi tersebut ditangguhkan atas faktor kesihatan.
Siasatan terbabit berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan penemuan wang tunai kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas bernilai hampir RM7 juta dalam sebuah ‘safehouse’.
Setakat ini, SPRM telah merakam percakapan 31 individu dan membekukan 13 akaun bank bernilai kira-kira RM2 juta.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa beliau menerajui negara.
Sebelum ini, Ismail yang juga Ahli Parlimen Bera telah memberi keterangan kepada pegawai penyiasat selama kira-kira lima hari selepas beliau membuat pengisytiharan harta pada 10 Februari lalu.
Beberapa hari kemudian, empat individu termasuk dua bekas pegawai kanannya ditahan SPRM untuk siasatan lanjut.
BACA JUGA Asyraf Wajdi beri amaran jangan kaitkan UMNO dengan duit RM170 juta disiasat SPRM
Â