MIC anggap cadangan gantung lesen Era FM terlalu keras

MIC menyifatkan cadangan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk menggantung stesen radio Era FM sebagai tindakan terlalu keras dan tidak adil kepada pekerja lain yang tidak terlibat.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri M Saravanan berkata, kesalahan tiga penyampai radio terbabit tidak patut memberi kesan kepada seluruh kakitangan Era FM, lebih-lebih lagi selepas pihak stesen itu telah membuat permohonan maaf secara terbuka serta mengambil tindakan terhadap mereka yang terlibat.

“Kita bimbang jika stesen ini digantung, ramai pekerja daripada pelbagai kaum akan terkesan, terutama dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa sama, Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah menegaskan bahawa kerajaan perlu bertindak tegas terhadap individu yang mencetuskan ketegangan agama di media sosial kerana perkara ini boleh menggugat keharmonian negara.

“Pihak berkuasa termasuk polis dan Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) perlu mengambil tindakan terhadap golongan pelampau agama yang secara berterusan mengeluarkan kenyataan bersifat provokasi dan menanam bibit perpecahan antara kaum di negara ini,” tegasnya.

Bekas Menteri Sumber Manusia berkenaan turut menggesa supaya tindakan diambil terhadap individu-individu didakwa menghina Islam, sebagaimana tindakan dikenakan ke atas mereka yang memperlekehkan agama Hindu.

“Kita harus konsisten dalam penguatkuasaan undang-undang. Tidak boleh ada sikap pilih kasih dalam isu sensitif berkaitan kaum dan agama.

“Malaysia adalah negara berbilang kaum dan keharmonian mesti dijaga dengan sebaiknya.

“Ini bukan soal perkauman atau agama tetapi tentang menghormati sesama rakyat Malaysia dan memastikan keamanan negara tidak tergugat,” kata Saravanan lagi.

BACA JUGA Tuduhan fitnah dan tidak berasas, ini bukti kerajaan tidak berdiam apabila Islam dihina