Tabik spring untuk Bang Mat, ekoran reaksi positif terhadap serangan dari Fahmi Reza

Pelbagai pihak mengangkat ‘tabik spring’ kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan,Datuk Seri Mohamad Sabu kerana tidak melenting di atas kritikan bahkan mengucapkan terima kasih terhadap kritikan pedas ke atas beliau.

Mohamad mengucapkan terima kasih kepada kartunis Fahmi Reza yang menyerang beliau ekoran ketiadaan berat putih tempatan di pasaran.

“Terima kasih atas karya Saudara Fahmi. Insha-Allah, saya akan terus berusaha agar reformasi besar-besaran sektor padi dan beras dapat dijayakan dan keberhasilan beras tempatan mencapai sasaran.

“Doakan ye,” kata Mohamad di page Fahmi Reza yang melakarkan kehilangan beras tempatan sehingga menamakannya sebagai “Beras Special Super Stupid”.

Fahmi meletakkan lakaran wajah Mohamad yang berpeluh berdepan dengan isu ini.

(Komen Mohamad Sabu terhadap karikatur serangan yang dibuat Fahmi Reza mendapat reaksi yang menular di seluruh media sosial)

Ulasan Mohamad ini mendapat komen balas sehingga 356 balasan sehingga berita ini ditulis.

“Bang Mat sudah masak dengan asam garam dunia politik. Reaksinya mencerminkan kematangan akal dan kejernihan budinya.

“Karikatur sebegini adalah lawak ringan sahaja bagi Bang Mat sebab ranjau dalam perjalanan hidupnya sebelum ini lebih runcing dan tajam.

“Tabik Bang Mat!” tulis Zolkharnain Abidin Al-Abyadhi, seorang bekas Adun dari Perlis di dalam laman beliau.

“Steady Abang Mat komen lukisan satira Fahmi Reza. Tidak defensif dan tidak melenting. Siap minta sama-sama doakan usaha beliau.

“Ini baru betul pemimpin berjiwa besar!” tulis Jamzuri Ardani, seorang aktivis media sosial yang menulis di lama beliau di Facebook.

REFORM

Menurut Setiausaha Akhbar Mohamad, Adesyam Nor, Mohamad sedang membuat revolusi untuk menyelesaikan isu padi dan beras negara ini.

Antaranya memperkenalkan cara untuk mengesan ke mana perginya beras tempatan selepas dimasukkan ke dalam pasaran.

Katanya, sistem Rice Tag yang diperkenalkan oleh DS Mohamad Sabu sudah mula dapat mengesan dan memantau pengedaran Beras Putih Tempatan (BPT) Bersubsidi ke seluruh Semenanjung secara ‘real time’.

Dengan adanya sistem ini, penguatkuasa lebih mudah membuat pemeriksaan di semua rantaian pengedaran.

“Sistem ini juga pertama kali diperkenalkan untuk mengesan pengedaran barangan bersubsidi di negara kita.

“Ini adalah sebahagian daripada reform besar-besaran yang sedang diusahakan oleh Bang Mat di KPKM,” kata Adeysham dalam penjelasannya di laman Facebook beliau.

Pada masa kini peruncit sedang giat melakukan pesanan (purchase order) dan pemborong sedang berusaha mempercepatkan penghantaran, katanya.

“Dalam fasa awal ini memang ambil sedikit masa untuk melatih pembekal menggunakan sistem ini tetapi selepas beberapa hari ini, kelihatan program ini mula berjalan seperti yang dirancang.

“Target kita dalam tempoh 6 bulan ini – 24 juta kampit BPT Bersubsidi akan berada di pasaran. Doakan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta semua penyokong kerajaan khasnya Presiden Amanah itu, bersabar dengan serangan terhadap isu ketiadaan beras tempatan ini.

“Kepada kawan-kawan semua, abaikan dulu kata-kata nista dari pihak sebelah sana kerana mengharapkan mereka mengucapkan ‘terima kasih’ ibarat mengharap sisik tumbuh pada ikan keli.

“Kita jalan terus, laksanakan amanah sehabis baik dan tawakal padaNya,” kata beliau.

BACA JUGA Selepas beberapa kali tangguh beri keterangan, SPRM akan jumpa doktor Ismail Sabri

Â