Abu Bakar Rashid meninggal di depan sahabat karibnya Mohamad Sabu

Bekas wartawan Harakah , Abu Bakar Mohd Rashid meninggal dunia malam ini di depan rakan rapat beliau Datuk Seri Mohamad Sabu.

Abu Bakar jatuh di sebelah kerusi makan di sebuah restoran dekat Kuala Lumpur selepas menguruskan majlis berbuka puasa bekas petugas awal Harakah, media rasmi Pas.

Beliau yang baru tiba belum sempat berbuka ketika jatuh yang dipercayai lelah selepas naik tangga dan menguruskan majlis berbuka puasa ini.

(Mohamad, Dr Hatta, Mahfuz Omar dan lain-lain melihat pasukan kecemasan HKL dan Hospital Damai berusaha menyelamatkan Abu Bakar selepas jatuh di sebuah restoran ketika mahu berbuka puasa hari ini.)

Turut berada di sisi beliau selain Mohamad Sabu adalah rakan-rakan awal yang memulakan akhbar Harakah.

Antaranya Khalid Samad, Dr Hatta Ramli, Datuk Nakhaie Ahmad dan lain-lain yang menyertai majlis berbuka puasa ini.

Mohamad dan Khalid beberapa kali memanggil nama Bakar untuk membolehkan beliau sedar kembali selepas jatuh.

Petugas kecemasan dari Hospital Damai dan Hospital Kuala Lumpur cuba menyelamatkan beliau dengan alat bantuan pernafasan sebelum di bawa ke HKL.

HKL mengesahkan Abu Bakar meninggal selepas itu.

Sejak dua minggu lalu beliau sibuk menghubungi rakan-rakan yang menubuhkan Harakah untuk majlis berbuka ini.

“Banyak kali dia hubungi saya. Yang terakhir minta saya datang juga kerana Ustaz Nakhaie pun datang,” cerita Mohamad Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan kepada yang hadir selepas Abu Bakar dibawa ke HKL.

“Nampak macam dia nak kumpulkan semua kawan-kawan rapatnya sebelum meninggal,” kata Mohamad.

Bulan lalu Abu Bakar juga menguruskan satu majlis makan malam di sebuah restoran. Namun selepas sedar nama Ustaz Nakhaie tertinggal dalam senarai tetamu yang dijemput, majlis ini dianjurkan

Nakhaie bekas naib presiden Pas yang menjadi founder kepada Harakah datang bersama isterinya dalam majlis malam ini.

Namun Abu Bakar tidak sempat bertemu dengan semua termasuk Nakhaie dan Mohamad Sabu kerana jatuh di sisi kerusi di luar tempat berbuka puasa bekas petugas awal Harakah ini.

Sebelum ini Abu Bakar sangat popular dengan nama Penarik Beca di dalam laman sosial Facebook.

Namun selepas akaun itu ditutup, Abu Bakar menggunakan nama sebenarnya ketika menulis.

Abu Bakar meninggal selepas dua tahun isteri beliau meninggal dunia. Nama dan kenangan beliau bersama isteri sentiasa tidak lekang dari mata pena beliau terutama di dalam Facebook.

Semoga Allah merahmati beliau dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Alfatihah.

BACA JUGA Beri ruang, peluang secukupnya untuk wanita dalam agenda pembangunan negara – PMX

Â