Debat pertikaian agama bukan penyelesaian, hanya menajamkan perbalahan
Debat pertikaian agama bukan jalan penyelesaian sebaliknya hanya digunakan oleh batu api yang menajamkan lagi perbalahan di antara masyarakat berbilang aum dan agama, kata Pengerusi AMANAH Johor Aminolhuda Hassan.
“AMANAH juga berpandangan debat yang melibatkan tokoh pembawa nama agama tidak harus diteruskan kerana ia lebih mempertajamkan lagi soal perbezaan antara agama dan bukanlah mencari perdamaian seperti yang diharapkan,” katanya yang juga Ahli Parlimen Sri Gading.
“AMANAH Johor juga berpendapat golongan yang sengaja mempertajamkan isu ini harus dikenakan tindakan tegas demi menjaga keharmonian hidup pelbagai kaum dalam negara ini.
“AMANAH Johor berpandangan terdapat golongan yang mengambil kesempatan atas isu ini demi kepentingan mereka dalam mendapatkan perhatian masyarakat teramai dalam negara ini.
“Sehubungan dengan itu, AMANAH Johor mengharapkan agar kerajaan lebih bertindak agresif dalam menyekang kegiatan adu domba dalam isu perpecahan kaum ini agar negara berada dalam perpaduan dan keharmonian yang baik.
Aminolhuda turut berkata bahawa bahawa terdapat batu api dari pelbagai pihak yang memainkan isu perkauman.
Isu debat timbul apabila pendakwah India Muslim Zamri Vinoth Kalimuthu menerima cabaran berdebat dengan timbalan presiden MIC Datuk M Saravanan yang juga Ahli Parlimen Tapah berhubung isu pembawaan kavadi semasa sambutan Thaipusam.
Zamri mendakwa masyarakat Hindu membawa kavadi persis orang yang dirasuk atau mabuk.
Sebelum itu tarian oleh tiga penyampai radio ERA FM dengan laungan ‘vel vel’ telah menyebabkan masyarakat Hindu marah.
Rentetan itu beberapa individu, termasuk dua orang yang berada di luar negara telah turut membuat video TikTok yang menghina Islam.
BACA JUGA: MIC leader set to debate Indian Muslim convert preacher later this month
Â