Syed Saddiq bakal terima peruntukan kawasan Parlimen Muar
Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dijangka akan menerima peruntukan pembangunan kawasan diwakilinya.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Syed Saddiq pada dasarnya telah bersetuju dengan syarat yang ditetapkan oleh kerajaan.
Draf perjanjian peruntukan pembangunan untuk Ahli Parlimen berada dalam peringkat terakhir.
“Ia akan diputuskan untuk Syed Saddiq kerana beliau sahaja yang telah bertemu dan mengemukakan surat rasmi,” kata beliau selepas menghadiri majlis untuk mengedarkan bubur pedas di Kompleks Sukan Satok.
Sebelum ini, Fadilah dilaporkan menyeru blok pembangkang untuk mengemukakan cadangan ke arah pembentukan jawatankuasa yang akan menilai peruntukan untuk ahli parlimen blok tersebut.
Penubuhan jawatankuas tersebut penting untuk memastikan pengedaran peruntukan dibuat secara menyeluruh.
Perikatan Nasional telah menolak draf memorandum persefahaman untuk peruntukan pembangunan.
Syed Saddiq sebelum ini juga menceburi bidang peragawan pakaian dalam usaha mengumpulkan dana untuk kawasan parlimennya.
BACA JUGA: Beri ruang, peluang secukupnya untuk wanita dalam agenda pembangunan negara – PMX