‘Terbaik Tan Sri!’, warganet sokong KSN turun padang terjah UTC Kuantan
Tindakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang membuat lawatan mengejut ke UTC Kuantan, Pahang semalam menarik perhatian ramai.
Difahamkan beliau turun padang bagi melihat sendiri keadaan sebenar perkhidmatan awam yang disediakan dan keselesaan pengunjung.
Menerusi perkongsian di Facebook, Shamsul berkata lawatan mengejut beliau telah memberi gambaran jelas tentang aspek yang perlu ditambahbaik di UTC tersebut.
Apa yang menarik, dalam lawatan itu beliau telah menghubungi terus pihak terlibat dan mengarahkan agar kerusi-kerusi menunggu buat pengunjung ditambah lagi, selain menambah beberapa kios untuk pembaharuan cukai jalan.
“Saya telah memeriksa kaunter JPJ, JPN, dan JIM serta melihat sendiri penyampaian perkhidmatan yang diberikan oleh para petugas yang saya kira begitu komited dan berdedikasi.
“Susulan itu, saya terus menghubungi semua pihak terlibat untuk diberi maklum dan saya dapat laporan petang tadi tindakan segera telah pun diambil,” katanya.
Dalam hantaran lain Shamsul berkata, lawatan mengejut dilakukannya bukan bertujuan untuk mencari kesalahan atau menghukum, tetapi lebih kepada memastikan perkhidmatan yang diberikan kepada rakyat sentiasa berada pada tahap terbaik.
Menurutnya, dengan turun padang secara langsung, barulah kerajaan dapat melihat sendiri keadaan sebenar, memahami cabaran yang dihadapi oleh petugas, dan mencari jalan penyelesaian yang lebih berkesan.
“Rakyat sememangnya berhak mendapat perkhidmatan terbaik daripada kerajaan, dan inisiatif seperti ini menunjukkan kesungguhan untuk memastikan sistem sentiasa diperbaiki demi kebaikan semua,” ujarnya.
Perkongsian beliau meraih pujian pengguna media sosial yang berpendapat kerajaan terutama KSN baharu kali ini memang serius menjaga kebajikan rakyat.
Mereka turut mengucapkan syabas kerana KSN turun padang melihat sendiri realiti dihadapi rakyat ketika berurusan dengan agensi kerajaan.

BACA JUGA Abu Bakar Rashid meninggal di depan sahabat karibnya Mohamad Sabu
Â