Jumlah saksi babit kes rasuah Ismail Sabri bertambah lagi
Saksi bagi membantu siasatan berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob terus bertambah.
Media melaporkan setakat ini seramai 36 individu sudah dirakam keterangan termasuk empat orang kena tuduh (OKT), manakala 23 lagi saksi baharu belum lagi direkod keterangan mereka.
Bagaimanapun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mendedahkan identiti saksi baharu yang akan disiasat.
Ismail Sabri sudah beberapa kali menunda kehadiran ke Ibu Pejabat SPRM atas faktor kesihatan.
Atas sebab itu pegawai penyiasat telah menemubual seorang doktor bergelar Datuk di sebuah hospital di Petaling Jaya yang merawat Ismail Sabri untuk mahu mengetahui sejauh mana tahap kesihatan Ahli Parlimen Bera itu.
Ismail terpalit kes rasuah dan pengubahan wang haram selepas kecoh penemuan wang tunai lebih RM170 juta.
SPRM kemudian mengesahkan Ismail Sabri bukan lagi saksi dalam siasatan berkenaan sebaliknya adalah seorang suspek.
Setakat ini sebanyak 13 akaun bank bernilai RM2 juta sudah dibekukan bagi membantu siasatan.
Kebanyakan akaun adalah milik empat suspek yang ditahan sebelum ini manakala bagi akaun Ismail Sabri masih belum dibekukan kerana akaun beliau sedang disiasat.
BACA JUGA Lebih 100 orang Asli di Kelantan berarak ke mahkamah untuk selamatkan tanah pusaka