Apa nasihat PM kepada trio penyampai radio Era FM?

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menasihati tiga penyampai radio Era, Nabil Ahmad, Azad Jazmin, dan Radin Amir agar menjadi ejen perpaduan.

Nabil dilapor berkata, mereka bertiga amat berbesar hati dengan nasihat dan harapan yang disampaikan Perdana Menteri itu, dan bertekad untuk merealisasikan harapan tersebut.

“Kita ucap terima kasih banyak pada Datuk Seri Perdana Menteri kerana kesudian menjemput kami bertiga, dan bos kami (Priya Dharshini Prabakaran), untuk sama-sama berbuka puasa.

“Kedua, beliau juga minta kami untuk sampaikan mesej perpaduan, perbanyakkan mesej, kita hidup dalam negara harmoni, pelbagai kaum, majmuk.

“Jadi, selalu dalam percakapan, perbuatan itu pasti kena perbanyakkan mesej perpaduan, itu yang beliau cakap kepada kami,” kata Nabil dipetik Astro Awani.

Terdahulu, Perdana Menteri menyerikan Majlis Berbuka Perdana Menteri bersama Media di Angkasapuri Kuala Lumpur.

Beliau turut dilihat meluangkan masa di meja ketiga-tiga penyampai radio berkenaan dan berbual mesra, sambil memberi kata-kata semangat.

Kira-kira 500 pengamal media daripada pelbagai agensi dalam dan luar negara hadir dalam majlis berkenaan.

BACA JUGA Ini perincian bermacam elaun dinikmati setiap Ahli Parlimen