Ini perincian bermacam elaun dinikmati setiap Ahli Parlimen

Perdana Menteri menyelar dakwaan Ahli Parlimen tertentu yang mempertikaikan pendapatan mereka adalah sangat rendah sehingga terpaksa berhutang demi untuk menjalani kehidupan seharian.

Beliau berkata, setiap Ahli Parlimen di negara ini layak dibayar elaun tetap RM25,700 sebulan serta pelbagai elaun dan tuntutan lain mengikut kelayakan yang sudah ditetapkan.

Antara elaun dan tuntutan rasmi yang boleh diperoleh oleh seseorang Ahli Parlimen adalah:

1) Elaun Hadir Persidangan RM400 sehari

2) Elaun mesyuarat Ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC)/Jawatankuasa Pilihan Khas RM300 sehari (semasa Parlimen tidak bersidang).

3) Elaun mesyuarat Ahli PAC RM250 sehari (semasa Parlimen bersidang)

4) Elaun mesyuarat RM300 sehari sekiranya hadir ke sesi taklimat rasmi.

5) Elaun hidup harian RM100 sehari dan elaun dibayar mengikut kehadiran ke Dewan atau perjalanan melebihi 32 kilometer (km) bagi tugas rasmi selain urusan Dewan.

6) Tuntutan perjalanan (memandu sendiri, menggunakan pengangkutan awam dan udara)

7) Tuntutan penginapan (hotel, lojing dan dobi).

8) Elaun dan tuntutan Tugas Rasmi Luar Negara iaitu elaun makan RM340 semalam; elaun hidup harian RM170 sehari; Tuntutan penginapan (hotel dan dobi); Tuntutan pengangkutan (pengangkutan darat dan udara) serta kerugian pertukaran mata wang asing dan tips 25 peratus daripada elaun makan.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri itu lagi, apabila dicampurkan jumlah berkenaan terdapat Ahli Parlimen yang menerima pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM40,000 seperti yang Perdana Menteri maklumkan sebelum ini.

“Perdana Menteri juga sekali lagi ingin menasihatkan setiap Ahli Parlimen untuk bijak mengurus soal kewangan selain sentiasa memikir dan mengutamakan rakyat yang menerima pendapatan jauh lebih rendah daripada mereka,” katanya.

Semalam, PMX menegaskan ruang untuk pembangkang berunding mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen mereka masih terbuka.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mempersoalkan tindakan pembangkang yang masih berbuat “bising” di luar, tanpa mengambil inisiatif untuk bermesyuarat mengenai isu peruntukan itu dengan kerajaan.

BACA JUGA Belum apa lagi Pas nak ‘cekik’ RM50,000 daripada rakyat

Â