Berita baik DBKL akan umum lokasi bazar Ramadan boleh busking

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mengumumkan senarai lokasi bazar Ramadan untuk para seniman jalanan melakukan aktiviti busking.

Perkembangan itu susulan aduan busker popular yang mendakwa dia sudah beberapa kali dihalau pihak berkuasa daripada membuat persembahan di bazar Ramadan.

DBKL dalam satu kenyataan berkata, pihaknya sentiasa menyokong para seniman jalanan atau buskers untuk berkarya di bazar-bazar anjuran DBKL selari dengan garis panduan yang ditetapkan.

Justeru DBKL akan meneliti dan menyesuaikan syarat-syarat lain mengikut perkembangan ekosistem seni muzik yang dinamik, bagi memastikan kesesuaian persembahan dengan situasi semasa.

“Merujuk kepada isu yang tular baru-baru ini mengenai dakwaan seorang pemuzik bahawa DBKL tidak membenarkan beliau membuat persembahan di Bazar Ramadan, pihak kami ingin menegaskan bahawa aktiviti busking dibenarkan di lokasi terpilih, namun tertakluk kepada beberapa syarat.

“Syaratnya ialah perlu mempunyai permit sah daripada DBKL, persembahan mengikut lokasi yang ditetapkan dan penggunaan peralatan akustik sahaja dibenarkan bagi menjaga keselesaan pengunjung dan peniaga,” kata DBKL di Facebook.

Untuk itu katanya, senarai lokasi dibenarkan busking akan diumumkan dalam masa terdekat berdasarkan Garis Panduan KL Street Artist.

BACA JUGA Lain macam! IPR INTAN berjaya usahakan ladang cili pertama di bawah pencawang TNB