‘Penjawat awam ada Intan, hakim ada Ilkap, ahli parlimen ada apa?’

Seorang pakar perlembagaan, Profesor Dr Shad Saleem Faruqi mencadangkan agar ahli Parlimen diwajibkan menjalani latihan berstruktur untuk meningkatkan pemahaman mereka mengenai undang-undang Perlembagaan, analisis dan penggubalan perundangan kerana keputusan mereka sebagai penggubal dasar boleh menjejaskan masa depan negara.

“Bagi penjawat awam, kita ada Institut Tadbiran Awam Negara (Intan). Bagi hakim, kita ada Institut Latihan Kehakiman Dan Perundangan (Ilkap).

“Tetapi, apa yang kita ada untuk Ahli Parlimen?” katanya, lapor FMT.

“Perlu ada institut hal ehwal Parlimen bagi melatih Ahli Parlimen dalam membuat undang-undang, mentafsir belanjawan dan perkara ekonomi,” tambahnya.

Kekurangan pengetahuan dalam kalangan wakil rakyat menyebabkan kegagalan menghargai hak dan kebebasan dilindungi Perlembagaan Persekutuan, mengakibatkan perdebatan berbaur perkauman dan agama, kenyataan yang boleh dipersoalkan dari segi undang-undang, dan pendirian berat sebelah gender dalam isu berbangkit.

Ahli Parlimen masih tertakluk kepada undang-undang seperti Akta Hasutan, menjadikan celik undang-undang hal penting mesipun dilindungi oleh kekebalan Parlimen, katanya.

“Mereka sepatutnya menjalani kursus pendek (bagi membolehkan mereka) menafsir undang-undang dan mengambil bahagian membuat draf undang-undang untuk dibentang di Parlimen sebagai rang undang-undang persendirian,” katanya.

Beliau turut menyeru ditubuhkan pejabat belanjawan Parlimen – seperti model dilaksana di Australia dan beberapa lagi negara Komanwel – di mana pakar memberikan analisis bebas, tidak berpihak pada kesan jangka pendek dan jangka panjang keputusan belanjawan.

“Ahli Parlimen mesti cakna berkait implikasi jangka panjang isu alam sekitar, dasar percukaian, dan kemampanan ekonomi.

“Saya sendiri terganggu setiap hari mengenainya. Saya pesan makanan dibungkus dengan plastik setiap hari. Saya beritahu diri sendiri nanti laut akan dipenuhi plastik.

“Terdapat isu alam sekitar seperti sungai menjadi longkang, ini adalah dasar jangka panjang,” kata Shad Saleem.

BACA JUGA: Rodziah Ismail umum bertanding Ketua Wanita PKR