Rombongan guru pondok Kelantan ziarahi Anwar
Sekumpulan guru pondok dan madrasah di Kelantan hari ini menziarahi Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan individu ke-15 paling berpengaruh di kalangan tokoh Muslim di seluruh dunia.
Pertemuan di Pejabat Perdana Menteri itu disifatkan Perdana Menteri sebagai membuka ruang yang bermakna untuk bertukar pandangan mengenai pelbagai isu terutama berkaitan perkembangan Islam dan pembangunan ummah.

“Pagi tadi saya berbesar hati menerima kunjungan rombongan tuan-tuan guru dan alim ulama dari pondok serta madrasah di Kelantan di Pejabat Perdana Menteri.
“Jemputan ini saya sampaikan sendiri setelah mereka menghadiri majlis iftar di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya semalam.

“Saya tekankan betapa pentingnya kita memperkukuh dasar Islam dalam pendidikan, serta beberapa ikhtiar Kerajaan dalam membina kekuatan dalaman umat Islam,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook.
Antara tokoh yang hadir adalah Tuan Guru Haji Abdurrahman bin Abdul Qadir dari Pondok Irfan, Alor Tar, Tumpat dan Tuan Guru Haji Zulkarnain bin Haron dari Pondok al-Islahiyyah, Bachok.

Mengulas lanjut pertemuan terbabit, Perdana Menteri menyatakan beliau amat menghargai pandangan dan nasihat yang disampaikan oleh barisan tuan guru terbabit terutama berkenaan pendidikan turath serta cadangan untuk memperkasa peranan institusi pondok di Malaysia.
“Dalam perbincangan ini, mereka menzahirkan kepentingan memperteguh semangat persaudaraan, memupuk kefahaman dan kasih sayang, serta menghindari kebencian.

“Saya turut mendengar dengan sepenuh perhatian saranan agar usaha penjelasan mengenai inisiatif Kerajaan MADANI dalam memperkukuh Islam dapat dilakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.
“Kami sependapat bahawa dalam banyak perkara, titik persamaan itu lebih besar daripada perbezaan,” kata Perdana Menteri.

Dalam ruang yang sama, beliau turut menekankan tentang perkembangan komunikasi serta kerjasama yang semakin erat dengan YAB Menteri Besar Kelantan.
“Saya berharap pertemuan sebegini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana ia menjadi wahana yang sangat bernilai dalam merangka usaha bersama demi kemaslahatan umat dan negara.
“Buah fikiran dan nasihat para tuan guru amat saya hargai, dan saya percaya ia terpancar dari keikhlasan demi kesejahteraan rakyat dan negara seluruhnya,” kata Anwar lagi.
BACA JUGA MP Pas terkejut PMX sebut gaji Ahli Parlimen boleh cecah RM40,000
Â