SKMM kompaun Era FM RM250,000 muat naik kandungan jelik melampau

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenakan kompaun RM250,000 kepada Maestra Broadcast Sdn Bhd kerana muat naik kandungan jelik melampau di TikTok Era FM.

Kompaun dengan kelulusan Jabatan Peguam Negara dikenakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (yang dipinda pada 11 Februari 2025).

Menerusi kenyataan hari ini, SKMM menjelaskan pihaknya juga memutuskan untuk tidak menggantung lesen penyiaran Maestra Broadcast Sdn Bhd, pengendali Era FM, selepas meneliti rayuan syarikat itu terhadap notis penggantungan yang dikeluarkan pada 7 Mac.

SKMM berkata, keputusan itu mengambil kira hujah yang dikemukakan dalam rayuan, tindakan pemulihan yang telah diambil oleh pemegang lesen, serta permohonan maaf rasmi daripada pihak yang terbabit.

Turut dipertimbangkan kesan penggantungan terhadap Melody dan Mix FM, yang beroperasi di bawah lesen yang sama.

Dalam masa sama, SKMM menegaskan komitmennya dalam menangani kandungan dalam talian yang boleh mencetuskan ketegangan agama atau mengganggu keharmonian masyarakat majmuk Malaysia.

Semua penyiar dan pengguna dalam talian juga diingatkan oleh SKMM agar bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian kaum dan agama serta mematuhi undang-undang negara.

BACA JUGA Rombongan guru pondok Kelantan ziarahi Anwar

Â