Netizen persoal prof ini selepas dakwa bantuan STR kecil berbanding kasut RM700

Seorang ahli akademik dari Sarawak membandingkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) yang dianggap lebih kecil berbanding sepasang kasut.

Perbandingan itu pada awalnya dibuat bagi menunjukkan bahawa jumlah bantuan diberi kerajaan tidak berpatutan jika dibanding dengan harga sepasang kasut di pusat beli belah.

Namun apa yang menjadi perdebatan ramai, perbandingan dibuat Ahli Ekonomi Sarawak itu tidak adil kerana kasut yang dibandingkan adalah “kasut T20” yang berharga RM700.

“Sedang window shopping di gedung membeli belah. Melihat ramai orang sedang shopping. Ternampak harga kasut.

“Hmm…Saya impikan Malaysia sebagai negara rahmah… bantuan keluarga B40, diharapkan lebih tinggi dari harga sepasang kasut,” kata Datuk Dr Madeline Berma di Facebook.

Perkongsian itu mendapat banyak perhatian pengguna yang menyifatkan bantuan STR adalah untuk golongan B40 dan golongan ini tidak menggunakan duit itu untuk berhabis pada sepasang kasut.

Mereka juga berkata, orang miskin dan B40 lebih memikirkan keperluan asas berbanding membeli kasut yang mahal.

“Ini kasut T20. Memang tak ada rahmahnya harga begini. B40 tak ada nak beli sampai RM700. (Mereka) fikir macam mana nak beli keperluan asas,” kata Hazaral Mohamad.

“Perbandingan yang kurang bijak. Kasut RM700 bukan kebiasaan untuk orang ramai pakai.

“Jika buat perbandingan begini, kasi bantuan RM20,000 pun, nanti puan akan bandingkan dengan pendidikan swasta anak-anak M40, T20 dengan ayat “saya harapkan bantuan lebih tinggi dari nilai pendidikan,” komen Ahamad Emran pula.

“Orang-orang miskin guna duit bantuan untuk beli makanan, bukan beli benda-benda mewah. Dapat pakai selipar jepun RM3.50 pun mereka dah syukur. Profesor apa ni?,”  komen pula Zulkarnaen Sokarnor.

Pun begitu ada beberapa pengguna memahami apa yang cuba disampaikan Dr Madeline bahawa harga kasut golongan kaya lebih mahal berbanding bantuan kepada golongan miskin.

“Saya faham perbandingan Dr. Harga kasut golongan kaya lebih tinggi berbanding nilai bantuan kepada golongan miskin. Dan percayalah golongan menteri tak beli kasut di Xes atau Bata,” kata TeacherFaza.

“Saya faham maksud puan. InsyaAllah kita akan menuju ke arah itu. Malaysia Madani serta Rahmah. Ayuh puan, mari bersama membantu kerajaan madani dan PMX dalam apa cara sekali pun. InsyaAllah kalau bukan kita, anak cucu kita nanti yang akan dapat apa yang puan citakan,” komen Faizzmeer Syafiq.

BACA JUGA Belum apa lagi Pas nak ‘cekik’ RM50,000 daripada rakyat

Â