Siapa rakam video tular Ismanira pimpin tangan Zayn Rayyan?

Kecoh di media sosial apabila satu video memaparkan ibu Allahyarham Zayn Rayyan Abdul Matin berjalan sambil memimpin tangan anaknya itu tular di media sosial.

Tidak tahu apa motif video tersebut dimuat naik dan adakah ia berkaitan dengan kes pembunuhan kanak-kanak autisme itu.

Namun polis memaklumkan pihaknya kini sedang mengesan individu yang merakam video berkenaan.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata pada peringkat ini, tumpuan polis adalah untuk mencari sumber asal atau pihak yang membuat rakaman video terbabit.

“Seterusnya, siasatan lanjut akan dijalankan untuk memastikan sama ada rakaman video berkenaan mempunyai sebarang kaitan dengan kes pembunuhan Zayn Rayyan,” katanya menurut laporan media tempatan.

Terdahulu, ibu Zayn Rayyan iaitu Ismanira membuat laporan polis setelah menerima satu pautan video Tiktok melalui aplikasi WhatsApp.

Dalam pautan video berdurasi lebih kurang satu minit itu menunjukkan Ismanira sedang berjalan sambil memegang tangan kedua-dua anaknya iaitu Zayn Rayyan dan adiknya yang berusia enam tahun menuju ke kawasan parkir motosikal Blok R, Apartmen Idaman, Damansara Damai di Selangor.

Pengadu merasakan bahawa individu yang tidak dikenali ini merakam video tersebut dari kawasan Blok Apartmen Idaman yang berhadapan dengan Blok R serta rakaman dibuat dari ketinggian yang menunjukkan bahawa perakam kemungkinan besar adalah penghuni di satu daripada tingkat atas di blok tersebut.

Ismanira membuat laporan itu kerana merasakan bahawa keselamatan dirinya dan keluarganya berada dalam keadaan terancam.

Ibunya juga percaya bahawa ini bukan satu kebetulan kerana tidak lama selepas rakaman ini dibuat, Zayn Rayyan ditemukan mati dengan jarak kira-kira 200 meter dari lokasi di mana video telah dirakam.

BACA JUGA Apa hukum sengaja tak bayar saman trafik dalam Islam? Ini jawapan Ustaz Azhar Idrus

Â