Halus Tengku Zafrul sekolahkan budak TikTok…
Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz tampil menjawab komen seorang pengguna TikTok yang mempersoal kilang mana yang sudah dibuka selama dua tahun pentadbiran Kerajaan MADANI ini.
Tidak melatah, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu menerangkan satu persatu syarikat dan kilang yang sudah dibuka sepanjang tahun lalu.
Beliau juga menyindir secara halus, menyarankan pengguna itu membuat carian terus di Google di mana maklumat akan tersedia dengan cepat.
‘Saya tak pasti bila Encik Saleh layari internet, dia lepak di ‘website’ apa. Tapi ada satu laman sesawang ini memang baik punya sesuai untuk Encik Saleh. Nama website itu Google.
“Macam-macam soalan boleh ditanya kepada Google. Contohnya kilang apa yang dah dibuka di Malaysia pada 2024. Ini antara sebahagian yang saya jumpa bila buat carian di Google,” katanya dalam satu perkongsian video.
Tengku Zafrul menyenaraikan tujuh kilang yang dibuka setakat tahun lalu di seluruh negara. Ia termasuklah;
1) BASF Petronas Chemicals buka loji pengeluaran 2 di Kuantan.
2) Kilang RFID antara terbesar di Asia Tenggara dibuka di Nilai Negeri Sembilan
3) Kilang pembuatan bateri termaju RM1.9 bilion di Kedah
4) Kilang semikonduktor RM6 bilion di Pulau Pinang.
5) Loji mentanol Sarawak bernilai hampir RM5 bilion telah beroperasi pada Q1 2024.
6) Kilang cat baharu iaitu Smart Asia Chemical di Batu Gajah, Perak
6) Ray Tech buka kilang kepakaran pemeriksaan C-ray industri pintar di Johor
6) ATX Semiconductor Group membina kilang pertama di Melaka, sekaligus menjadi kilang pertama dibina di luar China
7) Kilang komponen elektrik MCE labur RM200 juta bina kemudahan di Serendah, Selangor.
Dalam video itu, Tengku Zafrul juga berseloroh mengatakan sepatutnya kilang-kilang ini dibuka bersebelahan rumah Encik Saleh supaya individu itu tahu berapa banyak kilang yang sudah dibuka sepanjang dua tahun pentadbiran kerajaan MADANI.
“Ini baru sebahagian dari kilang yang dibuka pada 2024. Belum habis lagi. Panjang kalau campur dengan 2023 dan 2025. Penat kita nak baca satu-satu.
“Saya minta maaf Encik Saleh kerana pelabur-pelabur ini semua tak bertimbang rasa. Ada ke patut mereka buka kilang jauh dari rumah Encik Saleh. Patutnya mereka buka sebelah rumah, barulah Encik Saleh tahu rupanya banyak kilang yang dibuka di Malaysia masa kerajaan Madani memerintah,” ujarnya lagi.
BACA JUGA Suntikan RM1.1 bilion dalam Sapura Energy, ini penjelasan terkini PM
Â