Suntikan RM1.1 bilion dalam Sapura Energy, ini penjelasan terkini PM
Perdana Menteri menjelaskan suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukan berbentuk dana hangus.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan itu merupakan sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula syarikat terbabit.
Menurutnya, suntikan pelaburan itu dijadikan sebagai modal pinjaman supaya pengurusan syarikat memulangkan kembali dana tersebut apabila mendapat keuntungan.
“Apakah dana ini dana hangus? Tidak. Apa yang dilakukan ialah suntikan ini akan dijadikan modal pinjaman supaya pengurusan baharu mudah-mudahan akan mengurus dengan lebih baik.
“Apabila (SEB) mendapat keuntungan, (mereka) membayar semula dana suntikan itu, pulangkan (semula) RM1.1 billion.
“Jadi, ini bukan suntikan dana tetapi dilaksanakan dalam bentuk pinjaman,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini.
Semalam, Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan pelaburan strategik RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy Bhd (SEB) bukan satu bentuk ‘bailout’.
Dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet itu, Fahmi yang juga Menteri Komunikasi berkata, ia adalah satu pelaburan strategik yang berbeza sifatnya daripada bailout seperti berlaku era Tun Dr Mahathir Mohamad.
Terdahulu, media melaporkan SEB memperoleh pelaburan RM1.1 bilion menerusi langganan saham pinjaman boleh tebus boleh tukar (RCLS) pada nilai nominal oleh Malaysia Development Holding Sdn Bhd (MDH).
SEB menjelaskan pihaknya memeterai perjanjian pembiayaan bersyarat dengan MDH, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha penstrukturan semula kewangannya, mengukuhkan komitmen SEB terhadap kemampanan jangka masa panjang.
MDH, sebuah syarikat tujuan khas Menteri Kewangan (Diperbadankan), menetapkan hasil langganan itu hanya akan digunakan untuk penyelesaian atau pembayaran liabiliti yang terhutang oleh SEB Group kepada penyedia perkhidmatan Malaysia yang beroperasi dalam atau menyokong sektor minyak dan gas di Malaysia.
BACA JUGA Bukan sangat perjuang agama, auto suci kalau kerajaan…
Â