Poster tular palsu, Saifuddin bidas pihak berulang kali main isu 3R
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution membidas pihak yang masih berulang kali membuat fitnah mengenai isu pemberian kewarganegaraan kepada pendatang asing.
Saifuddin menegaskan, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai pemberian kerakyatan kepada pendatang China seperti poster yang sedang tular ketika ini.
Ujarnya, sejak tahun lepas beliau telah banyak memberikan penjelasan tentang isu kewarganegaraan ini tetapi sehingga kini masih ramai yang memainkan sentimen 3R itu.
“Kenyataan ini adalah fitnah. Kelulusan kewarganegaraan adalah tertakluk dalam Perlembagaan Persekutuan yang telah termaktub sejak sekian lama dan saya tidak pernah mengeluarkan kenyataan seperti dalam gambar fitnah tersebut.
“Sepanjang tahun lepas, saya telah banyak memberikan penjelasan tentang isu kewarganegaraan ini. Namun masih ada lagi pihak yang membuat fitnah dengan permainan sentimen yang berbaur 3R.
“Perbuatan yang tidak bertanggujawab ini sangat bahaya, ianya mampu mengganggu gugat keselamatan dan keamanan rakyat di dalam negara,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Pada masa sama, beliau menggesa rakyat mendapatkan maklumat daripada sumber yang betul dan tepat, dengan cara membuat pengesahan sebelum ianya dikongsi.
Beliau mengingatkan bahawa perbuatan menyebar fitnah dan berita palsu ini adalah sangat tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang.
BACA JUGA Dua bekas PM sokong biaya RM1.1 billion untuk Sapura Energy
Â